Tahniah buat kumpulan Shiro yang dianggotai oleh Ajak dan Shahrol selepas mereka diumum sebagai kumpulan yang mendapat tempat kedua di MLM 2013 dan membawa pulang wang tunai RM250,000. Penglibatan Shiro menerusi program Maharaja Lawak Mega sememangnya mendapat perhatian para peminat kerana persembahan mereka yang cukup konsisten sepanjang 13 minggu bersiaran.
Menurut Shahrol, mereka sangat berpuas hati dengan keputusan gelanggang akhir MLM 2013 kerana fokus utama mereka adalah untuk menghiburkan para peminat dan barisan juri dengan lawak yang berkualiti tanpa memikirkan sebarang kemenangan.
“Kami berdua sudah cukup berpuas hati dengan pencapaian kumpulan Shiro di MLM 2013. Peminat adalah keutamaan kami kerana tanpa mereka tidak mungkin kami dapat gelaran naib juara. Sejujurnya kami tidak memikirkan sebarang kemenangan ketika berada di MLM tahun ini. Apa yang menjadi fokus utama adalah lawak yang berkualiti.
“Penglibatan kami dalam program MLM 2013 adalah satu batu loncatan kepada kumpulan Shiro untuk meningkatkan mutu lawak selain dapat menghiburkan para penonton. Terima kasih tidak terhingga buat para peminat dan penonton MLM 2013. Tanpa anda tidak mungkin kami berada di tahap begini,” jelas Shahrol kepada Astro Gempak.
Gelanggang akhir MLM 2013 yang berlangsung pada 7 Februari yang lalu menyaksikan Sepahtu dinobatkan sebagai juara MLM 2013 sekaligus membawa pulang hadiah lumayan RM500,000 serta trofi sumbangan dari pihak Astro sementara Shiro ditempat kedua dan kumpulan Bocey di tempat ketiga.
Pentas akhir Maharaja Lawak Mega 2013 yang berlangsung pada haru Jumaat minggu lalu, memerlukan setiap peserta tampil dengan dua persembahan dengan tema bebas dan muzikal.
Empat juri tetap yang mengadili peserta pada peringkat akhir MLM 2013 itu terdiri daripada Datuk Yusof Haslam, Luna Maya, Sheikh Haikel dan Nora Danish.
Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info terkini gelanggang akhir MLM 2013!
Cr;Astrogempak